Pengasas Pertubuhan Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Pengasas Pertubuhan Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Monday, October 18, 2010

Lembut Sendeng penuh muslihat


"... Inilah sumpah perjuangan untuk watan dan bangsa merdeka dan perjuangan untuk watan adalah perjuangan suci. Perjuangan ini adalah perjuangan sepanjang hayat"
-Dato' Haji Abdul Ghani Othman


APABILA beberapa gerak silat sendeng diadaptasikan dalam senaman J-Robik ciptaan Kerajaan Johor, ia menyerlahkan betapa gerakan lembut seni mempertahankan diri Melayu ini, sebenarnya penuh dengan muslihat dan ketangkasan.

Perguruan ini mengutamakan ketangkasan serta mengatur langkah pada kadar 99 peratus menyerang dan satu peratus menunggu. Keunikannya terletak pada lenggok gerakan yang lembut berserta adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang pada posisi mengiring.

Kuda-kudanya juga berbeza daripada persilatan lain kerana kedudukan menyendeng berupaya menutup keseluruhan bahagian dada dan perut. Pesilat sendeng juga harus memahami konsep ibu pukul selain menguasai teknik mematikan gerak dan pukul untuk mendahului serangan lawan.

Terdapat dua gerakan dalam silat sendeng iaitu gerakan halus yang dikenali sebagai ‘gerak’ dan gerakan kasar yang dipanggil ‘gayang’. Ia seperti satu falsafah yang dipegang oleh pembimbing utamanya, Allahyarham Abdul Hamid Hamzah iaitu “gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku”.

Allahyarham yang berasal dari Sungai Mati, Muar mempelajari ilmu persilatan ini sejak usia lima tahun daripada nenda-nendanya.

Beliau mempunyai nenda yang mahir dalam ilmu persilatan dan kependekaran seperti Hassan Mahat yang terkenal dengan kemahiran bermain senjata dan Tamam Dagang yang memang terkenal dengan ilmu kebalnya.

Usaha hampir 58 tahun memperkenalkan seni silat sendeng kepada masyarakat Melayu membuahkan hasil apabila persilatan ini dikenali di seluruh Malaysia dan mempunyai ahli aktif di daerah Muar, Segamat dan Pontian.

Dari sudut fizikal, kedudukan menyendeng membantu menyelamatkan tujuh bahagian anggota utama yang sering menjadi sasaran lawan seperti muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk, perut dan kemaluan.

Melalui cara menyendeng juga memudahkan si pesilat untuk mengatur langkah sama ada hendak ke hadapan, mengundur, bersedia untuk memukul mahupun menepis serangan. Posisi itu turut membentuk rahsia ‘lam alif’ yang melindungi jantung, ulu hati serta kemaluan.

Pesilat diajar pelajaran belebat (pelebat), kuntau (pecahan/langkah), buang pukul, tarian dan permainan alat silat.

Keris, parang, pedang, tekpi, tumbuk lada serta lambung digunakan dalam seni silat sendeng ketika pesilat membuat persembahan mahupun bertempur. Persembahannya turut diiringi pukulan gendang, gong dan tiupan serunai.

Selain memperolehi ilmu beladiri, silat sendeng mampu menanam sifat disiplin serta sabar dalam diri seseorang, sekali gus mahu menggalakkan pembelajarannya di kalangan wanita.


Dato' Haji Abdul Ghani Othman
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=573&Itemid=52

1 comment:

  1. saya suka ngan MB ni...selalu jumpa di Masjid Parit bunga time skola dulu...

    ReplyDelete