Pengasas Pertubuhan Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Pengasas Pertubuhan Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Saturday, October 9, 2010

Syuhada' Melayu


MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.

Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.

Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.

Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.
.
Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’

Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)
.
Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut,

“Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58).
.
Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa

“orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.”

Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya,

“Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.

SUMPAH MELAYU-DATO ONN


Maka pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah. Hari ini sumpah itu seakan di khianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden. Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat. Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

Sebenarnya ketuanan rakyat yang dilaungkan adalah penjualan hak yang ada. Sebenarnya kesamarataan dalam demokrasi yang diperjuangkan lupa, bahawa Melayu yang mengekor dan belum lagi boleh berlari. Perjuangan Melayu adalah untuk Melayu, tidak perlu digeruni dan di perlu dikhuatiri. Perjuangan Melayu adalah untuk meningkatkan Melayu agar serasi bila bercerita mengenai kemodenan dan pembangunan agar kemajuan itu tidak timbul hanya di kelit mata kemudian di landa kepayahan hidup dan keciciran bangsa.

Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?

Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.

Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.

Ini adalah untuk semua, yang tingi melangit, yang sedang duduk mencoret polisi dan kita yang berkeliaran di muka bumi menjadi rakyat Melayu yang kini seakan kehilangan maruah diri. Jangan angkuh membicarakan kemodenan dalam erti melupakan nilai Melayu kita yang ada. Jangan angkuh membicarakan pembangunan dengan menggadai hak kita.

Melayu itu perlu dicernakan semula. Dalam erti mempertahankan yang ada. Dalam erti memperjuangkan semula, yang telah terlepas akibat melanggar sumpah kita. Melayu itu perlu bangkit dalam melihat bahawa kita bukan ketinggalan tetapi kita semakin hari semakin pupus di muka dunia. Kita perlu menceritakan semula Melayu itu – dalam suasana baru tetapi penuh bermaruah dan tidak perlu segan pada apa yang kita ada.

Sekiranya ada antara kita – menyatakan sumpah ini kuno dan ketinggalan, maka katakan pada mereka, sumpah itu kekal membicarakan perjuangan kita dan yang terlupa adalah mereka yang palsu menyatakan bahawa ketuanan Melayu adalah sisa-sisa sahaja, perlu di campak bersama sampah-sampah lain yang tidak berguna dan bukan budaya yang perlu dipertahankan kerana mereka sedang menuntut kuasa untuk berdendam sesama Melayu yang ada dan mereka tidak ubah seperti sampah yang jijik untuk Melayu melihatnya.

Ini sepatutnya dikenang semula-kerana yang hilang kita, yang dikurangkan hak kita dan yang ada penipuan mereka yang membawa bunga-bunga palsu untuk kita – tidak berbau dan tanpa semangat dan roh sebenar.

Perjuangkan dan pertahankan – maruah bangsa agar kita menginsafi yang hilang pada kita kerana kita Melayu lupa bercerita – kita tidak hilang d dunia – wujud sebagai daun kering yang menanti terlerai dari pepohonan sungguhpun jejak ada tapi tidak bermakna.


Sunday, September 12, 2010

Asal-Usul Melayu

Asal-Usul Melayu

Oleh Anak Waris | Kategori Asal-Usul, Sejarah


Bila disebut perkataan ‘Melayu’, terus tergambar dalam benak fikiran bahawa orang Melayu berkulit gelap/sawo matang, tubuh badan bersaiz sederhana dan berambut hitam. Gambaran yang hampir sama juga pernah diceritakan oleh Frank Swettenham dalam makalahnya “The Real Malay” yang menggambarkan lelaki Melayu adalah rendah, berambut hitam lurus, berkulit coklat gelap serta mempunyai bentuk hidung dan bibir yang besar.

malay boy

Ehsan dari "A Malay Boy - Project Gutenberg. Wikipedia".

Perkahwinan campur antara bangsa bukan Melayu dan Melayu dewasa ini sedikit sebanyak merubah identiti dan perwatakan unik orang Melayu jika dibandingkan dengan orang Melayu pada zaman dahulu. Bangsa Melayu dilihat banyak mendiami sekitar Asia Tenggara dan mengamalkan adat resam, budaya dan bahasa yang sama.

Asal-usul bangsa Melayu masih lagi dibincangkan dan dari mana datangnya perkataan Melayu juga masih belum dapat disahkan oleh sejarawan secara tepat.

Sumber yang diambil dari Wikipedia pula memetik perkataan Melayu berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu yang terletak di hulu Sungai Batang Hari di Sumatera, Indonesia. Pendapat lain pula mengatakan perkataan Melayu berasal dari perkataan Jawa Kuno iaitu “berlari” atau “mengembara”. Ini dikaitkan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan ke Asia Tenggara.

Bahasa menunjukkan bangsa.

Sejarah lama banyak membuktikan peristiwa yang mempunyai hubung-kait asal-usul bahasa Melayu. Di dalam artikel Resam Melayu sebelum ini – Bahasa dan Tamadun Melayu, mengikut catatan seorang rahib Budha bernama I-Tsing, Kerajaan Sriwijaya di Palembang menggunakan bahasa Melayu kuno sebagai bahasa pengantar pembelajaran mereka.

Istilah Melayu atau “Mo-lo-yu” juga pernah dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan “Mo-lo-yo” yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.

Dari segi linguistik, Melayu dikategorikan sebagai penutur bahasa Melayu di dalam kumpulan Melayu-Polynesia (Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam).

Kumpulan bahasa Austronesia mempunyai pertalian bahasa dengan bahasa Melayu-Polynesia, dari segi kosa kata dan perkataan yang digunakan.

Asal-usul bangsa Melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Di dalam buku sejarah Melayu, Melayu Proto (kumpulan pertama) berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Dipercayai keturunannya adalah Orang Asli di Malaysia dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua pula berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam (1500 Sebelum Masihi). Kumpulan ini dinamakan Melayu Deutro. Keturunannya ialah orang Melayu di Malaysia.

Melayu Deutro dikatakan lebih bijak dan mahir daripada Melayu Proto. Mereka bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.

Kesimpulannya, datuk nenek dan moyang bangsa Melayu boleh dikatakan berasal dari Yunan, China. Penghijrahan mereka ke Asia Tenggara memungkinkan mereka bermastautin dan menetap serta berkahwin campur dengan pelbagai bangsa seperti pedagang Arab dan India pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Secara amnya, bangsa Melayu adalah satu bangsa yang mengamalkan adat resam Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu serta hidup dalam budaya Melayu.


Asal Usul Bangsa Melayu

Asal usul bangsa Melayu

Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

  • Bangsa Melayu Berasal daripada Yunnan(Teori Yunnan)
  • Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara(Teori Nusantara)

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

  1. Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  2. Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah AssamIndia dengan Myanmar). (Berhampiran dengan sempadan
  3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunnan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.

Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia, [14] adapun menyatakan "nenek moyang" orang Melayu itu berasal daripada Yunan.

Berdasarkan Teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya.

Orang Negrito

Orang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut keriting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek.

Melayu Proto

Perpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam. Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto dimana dikenali sebagai Melayu Negosiddek dimana kebanyakan terdapat disebuah pulau yang dikenali sebagai Pinang. Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.

Melayu Deutro

Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar.

Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:

  1. Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  2. K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa (Kemboja). Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena "ambilan"
  3. Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
  4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Teori ini merupakan teori yang kurang popular khususnya di negara Malaysia.

Kekeluargaan orang Melayu

Sistem kekeluargaan Melayu mempunyai ciri-ciri yang agak fleksibel. Ciri-ciri ini terlihat dalam perkahwinan Melayu yang boleh berbentuk matrilokal atau patrilokal, monogami atau poligami. Lebih-lebih lagi, perkembangan keluarga mempunyai beberapa variasi. Dalam sistem ini, keluarga boleh bercerai dan bergabung sekiranya berlaku perceraian ibu bapa dan perkahwinan semula. Malah bukan semua keluarga akan mengalami perkembangan kepada keluarga luas yakni sebuah keluarga (yang mendiami sebuah rumah) mempunyai golongan 3 generasi. Kelahiran cucu mungkin membawa kepada perkembangan ini tetapi juga mungkin membawa kepada perpecahan keluarga dengan perginya ibu bapa yang baru demi mencari ruangan yang baru di luar rumah untuk keluarganya yang mengalami penambahan ahli. Di samping itu, faktor yang menyebabkan seorang anak mewarisi rumah ibu-bapa mereka juga tidak menentu dan ia

Perkahwinan orang Melayu

Orang Melayu amat beradat. Perkahwinan mereka secara umumnya terbahagi kepada lima peringkat istiadat: merisik, melamar, bertunang, bernikah dan bersanding.

Melayu kacukan

Oleh kerana Nusantara Melayu adalah tempat perdagangan dan pernah dijajah oleh kuasa Eropah, banyak orang Melayu berkahwin campur dengan bangsa asing dan anak mereka dikenali sebagai Melayu Kacukan. Sesetengah mereka ada mempunyai kemiripan orang Melayu dan yang lain tidak ternyata dan susah hendak dikatakan. Di antara masyarakat Melayu Kacukan yang terkenal adalah Melayu Eropah, Melayu India dan Melayu Arab.

Sumber : http://ms.wikipedia.org

Tuesday, September 7, 2010

PERSATUAN SILAT SENI SENDENG MALAYSIA- MELAKA
MENGUCAP SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI
DAN
MAAF ZAHIR BATIN.
KEPADA GURU UTAMA SENI SILAT SENDENG, CIKGU CIKGU SENI SILAT SENDENG DAN
ANAK ANAK SENDENG SELURUH MALAYSIA.